Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) menutup tahun 2025 dengan kejayaan yang membanggakan apabila menerima dua pengiktirafan berprestij: ‘5-Star Rating Website (2024)’ dan ‘100% Digital Literacy Excellence Award’.
Pengiktirafan ini disampaikan kepada Yang Berusaha, Encik Mohamad Lotfi bin Haji Tuah (Setiausaha SPANS), Puan Nuraya binti Abdullah selaku Human Resource Champion SPANS dan Encik Mohammad Fadzil Aizzad bin Badjuri, Ketua Pegawai Digital (CDO) dan (Pentadbir Laman Sesawang SPANS) sempena SCSDU Digital Excellence Awards 2025 yang berlangsung pada 4 Disember 2025 di The Waterfront Hotel, Kuching.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah bin Haji Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) yang mewakili YB Setiausaha Kerajaan Sarawak, bersama YBhg. Datu Grace Huong Siew Hung, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU).
Penganugerahan ini menjadi bukti komitmen SPANS dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat, telus, dan sentiasa relevan kepada masyarakat serta orang awam, seiring dengan aspirasi digitalisasi perkhidmatan awam negeri Sarawak.
